MyDigo bantu masyarakat celik digital

PETALING JAYA – Sekumpulan pemuda mengambil inisiatif mewujudkan Pertubuhan Profesional Digital Kreatif (MyDigo) untuk membantu golongan kurang mahir dengan teknologi informasi (IT) untuk mempelajarinya.

Setiausaha Agung MyDigo, Mohd. Asrul Abu Seman berkata, persatuan itu ditubuhkan pada tahun lalu untuk menggabungkan para belia yang mempunyai pengalaman khusus dalam bidang digital dan berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Katanya, inisiatif itu dibuat dalam usaha untuk memastikan masyarakat terutamanya usahawan supaya sentiasa peka dengan perubahan ekonomi digital di Malaysia.

“Misi kami adalah untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia supaya selari dengan era globalisasi ke arah dunia Internet Kebendaan.

“Visi MyDIGO untuk menjadikan bidang digital sebagai kerjaya profesional di negara ini selaras dengan pelan digital ekonomi yang dirancang pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, melalui pengalaman yang dimiliki selama lebih 10 tahun dalam bidang digital, mereka yakin kewujudan MyDigo mampu memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Mohd. Asrul, MyDigo terlibat mengadakan seminar pendedahan digital, kursus jangka pendek tentang pemasaran digital, konsultasi atau sesi kejurulatihan khas, membuat kajian tentang perubahan ekonomi digital di Malaysia dan mengumpulkan lebih ramai pemain industri digital dalam negara.

“Sejak ditubuhkan, banyak program telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli,” katanya.

Ujar Mohd. Asrul, pihaknya akan menganjurkan satu lagi kursus pemasaran digital bagi membantu individu atau usahawan meraih pendapatan dengan cara yang lebih berkesan di platform online esok.

Mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook MyDigo atau hubungi 011-21223506 untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *